Sutera Emas Copyright 2011. Powered by Blogger.

Kuasa Beli Kita Merosot !

Wednesday, June 15, 2011

Kerajaan diminta melihat secara serius kemerosotan kuasa membeli di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) , sedangkan penyusutan mata wang paling berpengaruh di dunia itu sepatutnya memberi faedah kepada nilai ringgit.
Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, ini kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidak seimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sesebuah negara.
Beliau berkata, Malaysia menggunakan indeks inflasi yang terdiri daripada barangan kawalan dalam menentukan kestabilan ekonomi negara sedangkan kuasa beli adalah petunjuk sebenar.
Menurut beliau, secara rasionalnya apabila nilai ringgit meningkat, sepatutnya keupayaan untuk berbelanja di kalangan rakyat Malaysia lebih besar.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya kemerosotan kuasa beli semakin terjejas sejak kebelakangan ini.
”Persoalannya mengapa rakyat kita tidak dapat menikmati kelebihan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS dalam kuasa beli?.
”Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, tahap kuasa beli di Malaysia terlalu berbeza berbanding di Amerika Syarikat kerana sekurang-kurangnya rakyat negara itu masih berpeluang membeli lebih banyak barang di pasar raya walaupun nilai mata wangnya menyusut.
”Sepatutnya kuasa membeli di kalangan rakyat AS lebih sukar kerana mata wang mereka tidak memberi apa-apa makna, tambahan pula negara itu adalah negara pengimport tetapi mengapa mereka terus menikmati kuasa membeli?
”Jawapannya adalah model ekonomi negara itu jauh berbeza dengan Malaysia walaupun kita dalam proses ke arah itu.
”Di negara maju, lebih banyak rakyat berbelanja bagi barang tertentu, lebih murah harganya tetapi di Malaysia lebih banyak barangan tertentu dibeli, harganya boleh meningkat. Itu bezanya dan ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Sebab itu, katanya. rakyat Singapura masih boleh menikmati harga teh tarik S$0.80 secawan pada nilai mata wang mereka tetapi di Malaysia harga bagi minuman itu terus meningkat daripada RM1.00 kepada RM1.50 hingga RM1.80.
Singapura masih mampu mengekalkan nilai mata wangnya kerana strategi monetari negara itu yang meningkatkan dolar Singapura.
”Sebab itu, walaupun berlaku kenaikan dalam dolar Singapura, kuasa membeli di kalangan rakyatnya tidak terjejas, seperti di AS, tambahnya.
Berikutan itu, katanya, kerajaan perlu mengatasi masalah ini dengan segera kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi isi rumah tempatan.
Tegas beliau, kerajaan sepatutnya turut melakukan pemantauan barangan bukan kawalan yang sebenarnya menjadi barangan asas keperluan dapur, selain barangan kawalan.
Jelasnya, ia penting kerana barangan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian telah menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus.
”Kalau dibandingkan dengan tepung, berapa banyaklah yang digunakan oleh isi rumah berbanding keperluan seperti sabun mandi dan sabun basuh,” ujarnya.
”Tiada ada gunanya kita bersorak kerana nilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS, jika nilai ringgit tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM3,000 dan tinggal di Kuala Lumpur, jumlah gaji itu sudah tidak memberi sebarang makna kepada pekerja.
Sebaliknya, dengan gaji tersebut, pekerja yang tinggal di Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai penduduk miskin kerana kos hidup yang tinggi dan penyusutan kuasa membeli.
”Apa yang anda boleh beli dengan RM100 di pasar raya sekarang kerana harga ikan pun sudah berbelas ringgit untuk setiap kilo, begitu juga dengan sayur, hampir semua barang naik,” katanya. – KUALA LUMPUR 7 Nov | Utusan Online.

Read more...

PBB Beri Amaran Krisis Dolar US

NEW YORK 26 Mei – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kemungkinan berlakunya krisis keyakinan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) jika nilai mata wang asing itu terus menurun berbanding mata wang utama lain.
Tinjauan Divisyen Ekonomi PBB terhadap ekonomi dunia mendapati kejatuhan nilai mata wang dolar adalah berbahaya terhadap sistem kewangan global.
Laporan PBB yang merupakan perkembangan terkini turut menyatakan kadar pertukaran dolar berbanding kumpulan mata wang utama lain telah mencecah paras terendah sejak 1970-an.
Katanya, aliran tersebut disebabkan oleh perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama serta peningkatan kebimbangan terhadap kemampanan hutang awam AS, yang sebahagiannya dipegang oleh orang asing.
”Sebagai keputusannya, jangkaan kerugian nilai buku oleh pegangan rizab asing akan menyebabkan krisis keyakinan dalam rizab mata wang, yang akan menyebabkan keseluruhan sistem kewangan global berisiko,” kata laporan itu.
Laporan 17 muka surat itu, menunjukkan risiko kejatuhan nilai dolar AS.
Pakar Ekonomi Kanan PBB, Rob Vos yang terlibat dalam laporan itu berkata, pasaran-pasaran baru muncul secara besar-besaran mulai menjual mata wang dolar AS, sekali gus akan menyebabkan kejatuhan mata wang itu.
”Kami tidak menyatakan kejatuhan pasti berlaku, tetapi faktor yang menyebabkannya risiko seumpama itu sedang berlaku sekiranya perkara-perkara lain yang berkaitan tidak bertambah baik,” katanya.
Pakar-pakar ekonomi PBB, sedang menimbang sama ada dolar perlu terus menjadi mata wang tunggal dunia manakala pihak lain menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kedudukan kewangan AS.
Standard & Poor’s telah memberikan amaran untuk menurunkan penarafan kredit AS pada AAA, kecuali kerajaan pentadbiran Obama dan kongres menemui jalan untuk mengurangkan bajet defisit persekutuan dalam tempoh dua tahun.
Penurunan taraf itu akan menghilangkan status AS sebagai kuasa ekonomi dunia dan peranan dolar sebagai mata wang dominan global.
Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner berkata, kerajaan AS tidak akan melepaskan tanggungjawab mereka. – Utusan Malaysia Online / Reuters

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP